Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, remaja lelaki itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang semalam di sebuah kediaman di Flat Cengal, Taman Putri.

“Pada 26 Mei lalu , pihak polis daerah Kulai menerima laporan pada pukul 1.46 petang mengatakan beg silang dalam bilik seminar masjid tersebut didapati sudah hilang.

“Pengadu lelaki yang juga amil dan bilal masjid terbabit memaklumkan beg silang yang diletakkan atas kerusi di belakang pintu sudah tiada. Wang dalam beg berkenaan dianggarkan berjumlah RM2,000 adalah hasil kutipan zakat fitrah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, suspek sudah ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dengan kejadian berkenaan selain pihaknya turut merampas satu helai baju, seluar ‘tracksuit’ dan topi.

“Suspek akan dihadapkan ke hadapan Majistret Kulai untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dijalankan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE