Pengarah Bahagian Operasi Rela, Mohamad Razib Buhaini berkata, langkah itu diambil bagi menyiasat sama ada terdapat unsur pelanggaran integriti atau rasuah melibatkan anggota tersebut.

“Kita lihat ada keraguan dalam kes ini dan meminta SPRM untuk meneliti serta menangani kes terbabit dengan segera.

“Pihak Rela mengambil serius perkara ini bagi menjaga integriti jabatan ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Pada 7 September lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk Seri’ daripada dua tuduhan iaitu mencedera dan menyerang seorang anggota Rela yang sedang menjalankan tugas, tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa seorang daripada tiga mangsa dalam kes itu telah menarik balik laporan polis terhadap Liow Soon Hee, 30.

Norhashimah berkata penarikan laporan itu berikutan mangsa, yang juga pengadu dalam kes itu Melvin, 22, telah memaafkan tertuduh. - UTUSAN ONLINE