Dalam operasi membanteras kegiatan itu selama lima jam bermula pukul 10 malam, sebanyak 133 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 13 buah motosikal disita kerana kesalahan mengubah suai.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintenden Rusli Yahaya, operasi melibatkan 11 anggota dan pegawai itu diadakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.

"Operasi dijalankan hasil rungutan orang ramai berhubung kegiatan ini. Ini juga bagi memberi keselesaan dan rasa selamat kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.Kata beliau berdasarkan pemeriksaan dijalankan, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 27 tahun. - UTUSAN ONLINE