Menurut kenyataan SKMM, suspek diminta hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Peta­ling Jaya di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan sedang berjalan dan kes akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila semuanya selesai,” kata kenya­taan itu.

Selain mengambil keterangan, SKMM turut merampas telefon bimbit serta kad sim milik penulis blog tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr. Mazlan Ismail berkata, tiada kompromi terhadap penyebar berita palsu.

“Perlakuan mereka ini menghancurkan kesejahteraan, kemakmuran serta keselamatan rakyat dan negara. Mereka tidak akan terlepas daripada menerima hukuman mengikut undang-undang sedia ada,” tegasnya.

Video berkaitan warga asing diberi kad pengenalan itu pernah tular pada 2013 dan didakwa dimuat naik semula pada 20 Januari lalu menerusi laman Facebook yang menggunakan nama Ratu Naga.

Sementara itu, Ratu Naga atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena Abu Samah menafikan dia bertanggungjawab memuat naik semula video tersebut.

Dia yang hadir bersama dua peguamnya mendakwa, ada pihak mewujudkan akaun Facebook baharu menggunakan namanya dan memuat naik semula video itu.

Syarul Ema yang juga seorang aktivis pembangkang pernah dipanggil SKMM berhubung siasatan kes memfitnah pada 2016.

Dalam kes tersebut, polis bersama SKMM bertindak menyerbu rumahnya dan merampas bahan bukti berhubung siasatan kes mengan­dungi fitnah terhadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia didakwa memuat naik catatan fitnah itu bersama gambar Rosmah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diambil ketika majlis rumah terbuka Hari Raya di Pekan, Pahang.