Perintah reman terhadap empat lelaki yang bekerja di tiga kilang papan berasingan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab. Latif mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun itu disyaki memberi rasuah antara RM500 hingga RM1,000 kepada tiga pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu dalam tiga kejadian berasingan antara 23 Mei dan 28 Ogos lalu.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Suspek pertama yang merupakan pengurus sebuah kilang berusia 62 tahun disyaki memberikan wang suapan RM1,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan negeri pada pukul 8.40 malam, 23 Mei lalu.

“Wang suapan itu dipercayai sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki hasil hutan yang tidak dibayar cukai,” ujar beliau.

Sumber SPRM itu berkata, suspek kedua dan ketiga yang terdiri daripada pengurus dan pemandu sebuah kilang papan lain pula disyaki memberi rasuah RM500 setiap seorang kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan negeri pada pukul 3.45 petang, 6 Julai lalu.

Beliau berkata, pemberian wang suapan itu dipercayai sebagai dorongan agar mereka tidak dikenakan tindakan atas kesalahan gagal mengemukakan pas pemindahan kayu serta memiliki kayu-kayu bulat pelbagai spesis yang disyaki tidak dibayar cukai.

“Suspek keempat pula disyaki memberi rasuah wang tunai RM500 kepada seorang pegawai jabatan itu sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki kayu pelbagai spesis yang dipercayai tidak dibayar cukai,” katanya.

Menurut beliau lagi, suspek berusia 35 tahun itu yang merupakan seorang pengurus syarikat papan dipercayai memberi ra­suah itu pada pukul 4.15 petang, 28 Ogos lalu.