Lebih memalukan apabila 10 daripadanya adalah penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan melombong bauksit secara haram di Kuantan, Pahang.

Rasuah dan skandal adalah isu dunia. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang ‘gelap mata’ untuk mendapatkan wang atau sesuatu tujuan dalam masa singkat.

Akhbar dalam talian, Integritas 360 dari Australia menyenaraikan beberapa pemimpin negara yang mempunyai skandal rasuah terbesar.

1. Presiden Indonesia, Mohamed Suharto (1967 - 1998)

Sepanjang pemerintahan Suharto sebagai presiden selama 31 tahun, beliau telah mengumpul kekayaan sebanyak AS$15 bilion hingga AS$30 bilion dolar.

Jumlah tersebut diperoleh melalui projek pembangunan yang diserahkan tanggungjawabnya kepada pemilik syarikat yang terdiri daripada ahli keluarga dan kawan rapatnya.

Pada 2010, kerajaan Indonesia berjaya mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga Suharto dan mengembalikan semula wang negara berjumlah AS$307.4 juta dolar.

2. Presiden Filipina, Ferdinand Marcos (1965 - 1986)

Ferdinand Marcos dipilih menjadi Presiden Filipina ke-10 dan memegang jawatan tersebut selama 21 tahun.

Marcos akhirnya dijatuhkan oleh Revolusi Kuasa Rakyat pada Februari 1986 selepas kegiatan korupnya terbongkar.

Sepanjang pemerintahan Marcos, tiada kesenangan dapat dinikmati rakyatnya apabila Filipina menjadi antara negara yang sarat dengan hutang.

Hutang luar negara mencecah antara AS$360 juta hingga AS$28 bilion dolar. Sementara jumlah rakyat miskin pula meningkat daripada 18 juta kepada 35 juta.

Marcos didakwa mengumpul kekayaan antara AS$5 bilion hingga AS$10 bilion dolar. Kekayaannya itu diperoleh hasil daripada projek yang disalurkan kepada kroni, ambil alih syarikat dan memberi hutang kepada individu dengan duit kerajaan.

3. Presiden Zaire (Republik Demokrasi Congo), Mobutu Sese Seko Koko (1965 - 1997)

Mobutu dianggap sebagai ketua yang baik selepas membawa keluar negaranya daripada krisis Congo pada 1960.

Selepas itu, beliau menjadi presiden pertama dilantik secara demokrasi melalui pilihan raya.

Namun, beliau telah membawa Republik Demokrasi Congo ke arah negara paling tinggi inflasi selepas gagal mentadbir urus dengan baik.

Lebih teruk lagi, beliau dipercayai memperoleh kekayaan antara AS$4 bilion hingga AS$5 bilion dolar, menyamai nilai hutang luar negara pimpinannya itu.

4. Presiden Nigeria, Sani Abacha (1993 - 1988)

Lima tahun pemerintahan Abacha di Nigeria, beliau telah mengeluarkan perintah supaya penghakiman di mahkamah tidak membelakangkan kerajaannya.

Bermakna, perintah tersebut memberikannya kuasa mutlak terhadap Nigeria. Tindakan tersebut menyebabkan beliau menolak aktiviti politik, mengawal media dan memperkasa ketenteraan.

Dalam tempoh pemerintahannya, hutang luar negara Nigeria susut daripada AS$36 bilion kepada AS$27 bilion dolar dan kadar inflasi menurun daripada 54 kepada 8.5 peratus.

Namun, skandal rasuah terbongkar selepas kematiannya pada 8 Jun 1998. Beliau dan keluarga dipercayai menggelapkan wang kerajaan sebanyak AS$3 bilion hingga AS$5 bilion dolar.

Wang tersebut merupakan rasuah yang diberi oleh syarikat asing, bank pusat di Nigeria, penggubahan wang melalui syarikat tertentu dan penghakiman mahkamah sebelum dideposit ke dalam akaun bank milik keluarganya di Switzerland, Luxemberg, Liechtenstein, Jersey dan Bahamas.