Ketua jurutera terbabit yang juga merupakan pemangku Timbalan Pengarah JKNS berusia 58 tahun serta dua jurutera masing-masing berumur 39 dan 37 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri antara pukul 12 tengah hari hingga 11.30 malam.

Turut ditahan ialah seorang kontraktor berusia 42 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan ketiga-tiga suspek.

Keempat-empat mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, pasukan penyi­asat turut merampas wang tunai kira-kira RM170,000 daripada suspek-suspek yang ditahan dan merampas dua buah motor berkuasa tinggi.

Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati jurutera-jurutera JKNS itu mempunyai harta-harta yang melebihi emolumen mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati, JKNS telah menganugerahkan projek-projek penyelenggaraan dan kecemasan kepada kira-kira 27 syarikat sejak tahun 2011, bagaimanapun kesemua projek itu didapati hanya dilaksanakan oleh satu syarikat kontraktor sahaja dengan meminjam lesen syarikat-syarikat tersebut.

“Setiap syarikat itu akan me­nerima komisen antara lima hingga 10 peratus daripada nilai sebenar setiap projek yang dianugerahkan,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk Sazali Salbi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, pihaknya kini dalam proses me­rakam percakapan saksi-saksi bagi membantu siasatan.

Sementara itu, perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret di sini selepas menerima permohonan daripada pihak SPRM.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basirudin manakala empat individu terbabit tidak diwakili peguam.