Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Azlan Shah Allias selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Seksyen tersebut memperun­tukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit ke­salahan.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah pada pu­kul 1.55 petang di­iringi pegawai suruhanjaya itu.

Suspek berusia 37 tahun yang ditahan di salah sebuah hotel di bandar raya ini pada pukul 2.40 petang semalam disyaki telah meminta sejumlah wang rasuah daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

“Hasil siasatan yang dijalankan, suspek disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM30,000 daripada pengurus projek ber­kenaan supaya tidak diambil tindakan memasang Mesin Angkat (Grip Hoist) tanpa mendapat kebenaran daripada pi­hak JKKP.

“Dalam satu serbuan yang dibuat di rumah sus­pek, pasukan penyia­sat menemukan wang tunai berjumlah RM18,505 yang disembunyikan di bilik dan bawah tangga kediaman tersebut. Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek ber­kenaan,” kata SPRM dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.