Perintah reman ke atas jurubahasa terutama bagi nelayan Vietnam itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab. [email protected] di sini hari ini.

Wanita berusia 46 tahun yang juga merupakan peniaga itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Suspek yang memakai jubah berwarna biru dan bertudung hitam ditahan  kira-kira pukul 10.50 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Suspek dipercayai menjadi orang tengah kepada tekong nelayan Vietnam untuk menawarkan rasuah kepada pegawai pemerintah di sebuah kapal Maritim Malaysia sejak bulan Mac 2017.

Wang tersebut sebagai dorongan bagi melepaskan nelayan dan bot Vietnam yang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana kesalahan menceroboh perairan negara.

Pada 28 Ogos lalu, pegawai pemerintah berkenaan ditahan reman di Mahkamah Majistret Kemaman bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Sumber SPRM memberitahu, suspek  sebelum ini sering dilantik APMM untuk menjadi jurubahasa bagi memudahkan urusan siasatan dan pertuduhan di mahkamah melibatkan nelayan negara berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE