Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Klang, Azimah Mohd. Yusof di Mahkamah Klang di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Guru besar berusia 52 tahun itu direman bersama dua guru lain masing-masing berusia 35 dan 41 tahun yang kesemua­nya mengajar di sebuah sekolah rendah di Pandamaran, Klang untuk siasatan lanjut.

Semalam, ketiga-tiga individu terbabit ditahan di sebuah restoran di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 3.25 petang.

Menurut sumber, salah seorang suspek meminta serta menerima wang suapan daripada pengadu yang juga seorang guru berjumlah RM5,000 dan sebagai balasan guru besar terbabit menyokong permohonan pertukaran ke sekolah lain.

Jelas sumber, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan pada Oktober lalu dan ketika tangkapan dibuat wang tunai berjumlah RM5,000 turut disita.

Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.