Tertuduh Nik Yaacob Idris, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib.

Mengikut pertuduhan, Nik Yaacob didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,500 daripada seorang tauke beras untuk memudahkan urusan permit kebenaran memindah beras.

Perbuatan itu dilakukan di Restoran Al-Khatiri, Bandar Baru Kubang Kerian di sini pada pukul 3.25 petang, 12 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurdalilah Md. Daud manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 24 September depan. - UTUSAN ONLINE