Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Siti Roslizawati Mohd. Zanin di sini hari ini.

Lelaki itu direman sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Kesalahan 16(a)(A) Akta SPRM 2019.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Majisteret di sini kira-kira pukul 10 pagi dengan  memakai baju tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren dan tangan bergari.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 10.40 malam semalam.

Menurut laporan media yang memetik sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai telah diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM7.5 bilion daripada kerajaan.

Ujar sumber berkenaan, siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 bilion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta. Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan kelmarin.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih berjalan dan masih tidak dapat dipastikan sama ada suspek akan direman atau dibebaskan sebaik sahaja selesai memberi keterangan,” jelas sumber berkenaan.

Kelmarin, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman selama empat hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal itu kepada orang-orang tertentu.

Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan kelmarin.

Pada 12 Mei lalu, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat terbabit turut ditahan SPRM. - UTUSAN ONLINE