Keadaan menjadi lebih buruk apabila di beberapa pelabuhan didakwa berlaku kerjasama antara segelintir penguat kuasa dan sindiket. Akibat daripada perbuatan yang dianggap menggunakan konsep 'Strategi Lautan Biru' itu, kerajaan terpaksa menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit sebulan.
 Dalam laporan khas kali ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR mendedahkan modus operandi kerjasama antara sindiket dan anggota agensi penguat kuasa sehingga ia bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi boleh mengancam keselamatan negara.

 

KUALA LUMPUR 18 Mac -  Percaya atau tidak? Setiap bulan kerajaan kerugian berbilion-bilion ringgit akibat ketirisan hasil negara. Ia bukannya berpunca daripada 'kebijaksanaan' sindiket memperdaya anggota penguat kuasa, tetapi akibat amalan rasuah berkonsepkan 'strategi lautan biru'.

Strategi itu yang sepatutnya digunakan bagi mengekang ketirisan, penyelewengan, penyeludupan dan salah guna kuasa, kini bagaikan 'senjata makan tuan’ apabila ada anggota pe­nguat kuasa agensi-agensi tertentu sanggup bersepakat de­ngan sindiket bagi melaksanakan strategi berkenaan.

Difahamkan, amalan rasuah seumpama itu berlaku melalui kegiatan penyeludupan dan kemasukan barang-barang dari beberapa pelabuhan utama.

“Gejala itu amat serius kerana ada anggota penguat kuasa yang sanggup bersekongkol dengan sindiket semata-mata mahu hidup mewah. Dalam bahasa mudah, mereka untung, kerajaan yang rugi.

“Kerugian itu pula bukannya sedikit malah melibatkan berbilion-bilion ringgit akibat kegiatan penyeludupan dan pengimportan yang berlaku bukan sahaja melalui darat tetapi juga laut,’’ kata satu sumber kepada Mingguan Malaysia, di sini.

Sumber itu menjelaskan, sindiket akan bekerjasama de­ngan penguat kuasa bagi melepaskan atau menyeludup barang-barang berduti tinggi seperti rokok, minuman keras, tayar dan besi.

“Nilai duti barang-barang ini kalau betul-betul dibayar akan meningkatkan pendapatan negara, tetapi malang semuanya tercicir di tengah jalan akibat sikap tidak amanah sesetengah anggota agensi penguat kuasa,’’ katanya.

Kata sumber itu lagi, apa yang mengejutkan ada sesetengah barang rampasan yang diletakkan di dalam setor simpanan agensi penguat kuasa tertentu hilang.

“Perbuatan itu dilakukan oleh orang dalam sendiri yang akan mencurinya untuk jual kepada pihak ketiga. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada penguat kuasa melepaskan sindiket penyeludupan dengan mengambil sebahagian barang untuk menjualnya sendiri,’’ kata sumber itu.

Tegas sumber tersebut, akibat gejala itu, sindiket sama sekali tidak takut untuk me­lakukan kegiatan mereka kerana segala-galanya boleh diuruskan dengan agensi penguat kuasa.

“Kegiatan ini tidak boleh dibiar­kan kerana kerugian yang ditanggung oleh kerajaan amat luar biasa. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana modus ope­randi sama di kawasan-kawasan sempadan yang turut melibatkan kerjasama antara penguat kuasa dan sindiket,’’ katanya.

Apa yang membimbangkan rasuah ala 'strategi lautan biru’ itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada kerajaan dari segi hasil cukai dan duti tetapi lebih daripada turut boleh me­ngancam keselamatan negara.

Keadaan itu kata sumber tersebut berlaku kerana ada penguat kuasa yang berpakat dengan sindiket melepaskan kemasukan kontena-kontena ke negara ini tanpa perlu melepasi pemeriksaan.

“Bagaimana kalau kontena-kontena tersebut mengandungi dadah atau senjata api? Oleh itu sudah sampai masanya kerajaan melakukan sesuatu dalam hal ini kerana kesan buruk kepada negara amat besar,’’ kata sumber itu lagi.