Sumber SPRM memberitahu, kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 29 hingga 33 tahun itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM50,000 sebagai balasan menguruskan pin­jaman peribadi seorang guru lelaki berusia 39 tahun.

“Empat suspek termasuk seorang wanita yang ditahan sekitar Rompin, Pahang dan Permas Jaya, di sini kelmarin kerana dipercayai terlibat meminta rasuah.

“SPRM mendapat perintah tahanan reman Mahkamah Ma­jistret Johor Bahru terhadap kesemua mereka selama tujuh hari hingga Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, dua lagi wanita termasuk seorang daripadanya merupakan pembantu jualan yang beroperasi di Skudai ditahan di sebuah rumah di Permas Jaya di sini semalam.

Katanya, pihaknya turut mendapat perintah tahanan reman daripada mahkamah sama ter­hadap kedua-dua suspek selama lima hari hingga Isnin ini.

“Siasatan awal yang diperoleh pasukan siasatan dengan kerjasama pasukan dari unit integriti institusi kewangan tersebut mendapati suspek itu telah terlibat meminta wang rasuah sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi yang melibatkan jumlah RM190,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara kumpulan dan bersindiket, justeru, pihaknya menyeru mana-mana individu yang pernah terlibat dalam kes seumpama ini tampil memberi maklumat kepada SPRM.