Rangka tulang manusia tanpa identiti ditemukan oleh juruukur yang sedang melakukan kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan Uniten di Kampung Dato Abu Bakar Baginda pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, semasa pengadu bersama rakan-rakannya hendak kerja mengukur di kawasan berkenaan, dia terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu lokasi berhampiran.

“Setelah pengadu menghampiri dan mendapati terdapat beberapa tulang yang besar dibaluti dengan selimut dan disyaki sebagai tulang manusia.

“Tempat kejadian adalah merupakan di sebuah kawasan hutan ladang getah yang terbiar di dalam Uniten iaitu dalam dalam anggaran jarak satu kilometer dari padang rugbi dan 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang elektrik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz lagi, selain rangka tulang, antara ditemukan adalah barangan milik mangsa iaitu sepasang selipar jenama Fipper Strappy warna Hitam dan Pink bersaiz enam, sebentuk cincin mempunyai dua bentuk mata dan sehelai jaket kain bewarna gelap bercorak bintik-bintik jenama Puma saiz M.

“Selain itu juga dijumpai adalah satu gelang tangan bersaiz diameter 5 sentimeter dan tali pengikat rambut,” katanya.

Kata Abdul Aziz lagi, mayat berkemungkinan ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira setahun yang lalu sebelum dijumpai.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bersabit kes ini tampil ke hadapan untuk membantu siasatan atau menghubungi pihaknya dengan segera.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Wan Azirul menerusi talian 0387774222 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE