Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, dadah tersebut yang dipercayai diseludup dari negara jiran dirampas selepas menahan sebuah kereta jenis Toyota Camry bersama empat lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim di sini pada pukul 5 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan badan yang dijalankan, polis menjumpai satu kunci kereta jenis Honda di dalam beg silang salah seorang daripada lelaki terbabit dan mengarahkan suspek membuka pintu kereta berkenaan yang berada di hadapan rumah tersebut.

“Pemeriksaan pada ruang simpanan barangan kereta jenis Honda tersebut telah menemui satu peket plastik lut sinar yang mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 461.75 gram (g),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selepas itu, Asri memberitahu, berdasarkan hasil soal siasat salah seorang daripada suspek tersebut membawa polis ke sebuah rumah di Taman Gunung Perak di sini.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai 80 peket plastik warna biru yang mengandungi 16,000 biji pil kuda dan lima peket syabu anggaran seberat 507.41g.

“Keseluruhan dadah yang dirampas itu bernilai RM207,062.70 manakala kereta Toyota Camry pula disita,” katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu terlibat dalam jenayah dan dadah serta seorang lagi tiada rekod jenayah.

Tambahnya, tiga lelaki terbabit bekerja sebagai buruk dan seorang lagi bekerja sebagai penjual ikan di Kuala Kedah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing, mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Keempat-empat lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE