Itu antara taktik yang sering digunakan sindiket bagi membawa keluar hasil curi tersebut untuk dijual ke pasaran gelap di dua negara ter­babit.

Sindiket itu m­e­ngam­bil kesem­patan kelemahan dihadapi pihak pelabuhan yang tidak mempunyai mesin pengimbas kontena untuk menyeludup kenderaan curi yang mendapat permintaan tinggi seperti Toyota Hilux, Vellfire, Alphard, Honda CR-V dan BMW 5 Series.

Apabila kontena tersebut tiba di negara berkenaan, peluang untuk mendapatkan semula kereta-kereta curi di dalam­nya amat tipis memandangkan sindiket di Malaysia dan dua negara berkenaan mempunyai jaringan kerjasama yang menyu­karkan pihak berkuasa untuk menangani jenayah rentas sempadan itu.

Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Khairuldin Saad berkata, walau bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit dapat ditumpaskan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada kalangan 9,101 individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan curi kereta di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada penahanan yang dibuat, sebanyak 4,934 kenderaan dan komponen kende­ra­an termasuk yang cuba diseludup melalui kontena bernilai RM24 juta dirampas.

“Siasatan kami mendapati, sindiket akan mencuri kereta di kawasan-kawasan sasaran sebelum membawa kenderaan itu ke pelabuhan-pelabuhan yang ada di negara ini untuk diseludup keluar menggunakan kontena.

“Memandang­kan pelabuhan kita tidak mempunyai sistem pengimbas kontena, sindiket terlibat mengambil peluang dengan memalsukan maklumat sebelum kapal kontena bermuatan kereta curi itu belayar me­nuju ke negara-negara terlibat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ujarnya, ada juga sindiket menggunakan jalan darat de­ngan membawa keluar kereta terbabit melalui pintu sempadan negara untuk dijual di pasaran gelap negara jiran dan satu lagi modus operandi mereka adalah dengan meleraikan komponen-komponen kenderaan curi sebelum dijual menerusi laman web atau orang ketiga.