Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kejayaan itu hasil risikan dan siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan D9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

“Polis melakukan dua serbuan berasingan di Taman Desa Cemerlang dan Jalan Permatang 8, Desa Jaya antara pukul 3.30 petang kelmarin hingga 6.30 petang semalam.

“Dalam serbuan itu kita menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan merampas 58.79kg dadah dipercayai jenis ketamin, heroin (5.44kg) dan syabu (2.34 kg) bernilai RM3.1 juta yang diletakkan di dalam dua buah kereta,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

Menurut Mohd. Kamarudin, dalam serbuan tersebut polis turut merampas dua buah kereta jenis Toyota Camry dan Pe­rodua Kembara.

Beliau berkata, dadah yang disorokkan dalam but kedua-dua kereta tersebut disyaki untuk dipasarkan sekitar negeri ini dan mampu menampung bekalan kepada 20,000 penagih.

“Serbuan dibuat selepas Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan D9 IPK Negeri Sembilan memperoleh maklumat hasil soal siasat ke atas beberapa suspek tentang keberadaan suspek di Seri Alam yang menyimpan pelbagai jenis dadah berkenaan.

“Kami percaya mereka adalah daripada kumpulan yang sama. Kami masih menyiasat dari mana kumpulan ini mendapatkan bekalan dadah dan akan mengesan jika masih ada saki-baki ahli kumpulan masih bebas,” katanya.

Menurut beliau suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.