Dalam serbuan pukul 2.30 petang itu, tiga lelaki berusia antara 19 tahun hingga 26 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, premis berkenaan yang diubah suai dipercayai dijadikan lokasi untuk menjual dan mencetak DVD sebelum diedarkan ke Temerloh dan kawasan sekitar.

"Siasatan awal mendapati bangunan tiga tingkat ini dijadikan tempat menghasilkan, menyimpan, membungkus dan sebagai pusat edaran DVD cetak rompak sejak setahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem (APF) 2002.

Katanya, semua suspek turut disiasat dibawah Seksyen 18 (4)(a) APF 2002 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE