Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, rampasan itu dilakukan selepas Aksem Bukit Kayu Hitam menahan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger warna hitam yang dinaiki dua lelaki masing-masing berumur 29 dan 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan senjata api tiruan berkenaan dijumpai pada bahagian kusyen tempat duduk penumpang belakang.

“Pihak polis membuat siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan lanjut menjumpai dua pucuk pistol tiruan jenis ‘eclipse’, lapan pucuk pistol jenis ‘tactical division’ dan selaras senapang ‘sniper amoeba arms’.

“Selain itu, kita juga merampas lapan unit ‘bullet bearing’, empat unit kelopak M4/16, satu unit peluru plastik dan dua unit bateri ‘fire fox super down 1,300MH’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, hasil siasatan awal mendapati lelaki berumur 29 tahun mengaku membeli senjata tiruan jenis angin bersama alatan serta peluru getah di Danok, Thailand dengan harga RM100 sepucuk.

“Dia mengaku membelinya untuk kegunaan sendiri dan rakannya hanya menemani dia membeli senjatan tiruan tersebut di negara jiran. Lelaki itu juga mengaku meminjam kenderaan rakannya di tinggal di Lunas namun tidak memaklumkan tujuan ke Thailand.

“Kedua-dua lelaki berkenaan itu kini ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE