Menurut portal The Express Tribune, pemuda berusia 20 itu ditahan ketika melalui pemeriksaan keselamatan selepas mesin pengimbas mengesan terdapat beberapa jenis senjata di dalam beg suspek.

Hasil pemeriksaan, pasukan keselamatan lapangan terbang Pakistan menemukan empat pucuk pistol, lapan magazin dan 70 butir peluru disorok di dalam beg dan kasut suspek.

Lelaki yang dipercayai anggota pengganas Daesh itu kemudian dibawa ke balai polis lapangan terbang untuk soal siasat mengenai tujuan suspek menyeludup keluar senjata dan hubungannya dengan kumpulan militan Daesh.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila tangkapan itu dibuat.

Difahamkan, dalam kejadian itu, suspek menaiki pesawat ke Bangkok, Thailand sebelum mengambil penerbangan pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan warga Malaysia yang berasal dari Sarawak itu.

“Siasatan awal mengesyaki suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

“Kita akan mengumpulkan maklumat daripada pihak berkuasa Pakistan mengenai kejadian ini dan kita akan minta suspek dihantar pulang untuk siasatan lanjut,” ujarnya.