Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, permohonan ekstradisi tersebut sedang dibuat secepat mungkin bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dijalankan di negara ini.

“Kita mahu pendakwaan dan hukumannya nanti biarlah dijalankan di Malaysia. Tentunya kita tidak akan berkompromi, apatah lagi dengan penglibatan rakyat kita dalam kegiatan ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (IC­QS) Tebedu di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 20 tahun berasal dari Sarawak ditahan di lapangan terbang Jinnah, Karachi kerana dipercayai cuba menyeludup senjata api dan peluru.

Lelaki itu ditahan sebelum sempat menaiki penerbangan dari Pakistan ke Bangkok, Thailand.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mendapat kerjasama penuh daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.

“Sudah pasti pemantauan berterusan akan dijalankan bagi mengawal kegiatan itu.

“Terima kasih juga kepada pihak keselamatan Pakistan yang memaklumkan kepada kita mengenai penahanan berkenaan,” jelasnya.