Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara itu disahkan kerana terdapat rakyat negara ini terdorong untuk ke wilayah bergolak di Myanmar itu selepas dipe­ngaruhi kumpulan militan tersebut.

Menurutnya, kedudukan Myanmar yang lebih dekat dengan Malaysia berbanding Syria dan selatan Filipina menjadikan lo­kasi baharu itu sebagai pilihan lain untuk mereka berjihad.

“Penyiaran gambar-gambar ke­kejaman yang berlaku di Rakhine menaikkan semangat ma­syarakat mendorong orang berjihad ke sana.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai maklumat lengkap jumlah mereka (pengganas) yang sudah berada di Rakhine, tetapi dalam waktu terdekat akan ada usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas me­nyampaikan ceramah Seminar Ke­sedaran Ancaman ISIS Terhadap Golongan Belia di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Program disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Jelas Ayob Khan, aktiviti me­rekrut pengganas ke Ra­khine masih baharu dan pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai perkara tersebut termasuk kaitannya dengan penahanan seorang lelaki berumur 38 tahun dari Melaka pada 10 September lalu.

Berdasarkan maklumat risikan, penjual cendol itu ditangkap selepas disyaki aktif mencetak dan mengedarkan bendera militan Daesh bagi mempromosikan perjuangan kumpulan itu serta merancang untuk menyertai Daesh di Filipina dan Rakhine.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Ayob Khan memberitahu, aktiviti merekrut ahli baharu dalam kalangan rakyat negara ini masih diteruskan meskipun Ketua Daesh Asia Tenggara, Muhamad Wanddy Mohamad Jedi yang berasal dari Melaka te­lah meninggal dunia dalam satu serangan dron di Raqaa, Syria penghujung April lalu.

“Ada empat lagi rakyat Malaysia di Syria namun mereka tidak seaktif Wanndy tetapi masih lagi merekrut rakyat Malaysia de­ngan mencari peluang dan ruang, sekiranya kita (polis) leka mereka akan melakukan serangan.

“Oleh itu, pihak polis memang sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menggugat keselamatan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idris turut meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam usaha meme­rangi kegiatan militan Daesh di kawasan masing-masing.

“Laporkan terus kepada pihak polis sekiranya ada aktiviti mencurigakan atau kehadiran orang yang tidak dikenali di kawasan anda sebagai langkah berjaga-jaga dan usaha menangani kegiatan tersebut,” katanya.