Berdasarkan siasatan polis, suspek yang merupakan rakyat tempatan berusia 43 tahun sering ke luar negara termasuk memiliki sebuah kereta import, dua motosikal berkuasa tinggi masing-masing berharga RM40,000 serta sebuah motosikal jenis skuter yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, menerusi serbuan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 6.50 petang, Selasa lalu, polis menemukan tiga bungkusan kerajang aluminium yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6.98 kilogram (kg.).

Menurutnya, bungkusan pertama mengandungi dadah seberat 2.98 kg. yang diisi dalam bungkusan teh Cina manakala bungkusan kedua dan ketiga masing-masing seberat dua kilogram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM488,600 dan polis percaya suspek mula terlibat dengan kegiatan ini sejak empat bulan lepas. Kesemua dadah juga dipercayai untuk dihantar ke negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Ghee Lye berkata, ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan yang tidak memiliki rekod jenayah positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, ujar beliau, polis turut menyita barang kemas, wang tunai berjumlah RM36,800, jam tangan jenama Rolex dan lima akaun bank dengan nilai keseluruhan harta disita mencecah RM294,989.

Ujarnya, lelaki berkenaan yang telah berkahwin kini direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1 1952.