Dalam serbuan kira-kira 9.50 malam tadi, sebanyak tujuh individu termasuk dua wanita berusia di antara 20 sehingga 59 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mereka yang ditahan terdiri empat penjaga premis dan tiga pemain.

Ujarnya, sebanyak 12 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Gombak melakukan serbuan di premis terbabit berdasarkan maklumat risikan sebaik sahaja mengetahui kegiatan itu dilakukan.

“Hasil serbuan ini, kita turut merampas 11 komputer riba dan sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM650 dipercayai hasil kegiatan judi dalam talian ini.

“Hasil siasatan mendapati pusat judi itu mampu mengaut keuntungan sebanyak RM1,000 sehingga RM1,500 sehari,”katanya ketika ditemui di lokasi serbuan dekat sini. - UTUSAN ONLINE