Minggu ini sahaja sudah dua kali serbuan dilakukan terhadap pusat hiburan tersebut dalam masa selang sehari, malah mereka didapati beroperasi tanpa mempunyai lesen.

Menerusi serbuan terbaharu pukul 1.30 pagi ini, seramai 158 diperiksa melibatkan 108 pe­langgan lelaki, 23 pelanggan wanita, 24 pekerja lelaki dan tiga pekerja wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang diperiksa itu berumur antara 21 hingga 59 tahun termasuk warganegara asing.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor untuk menjalani ujian air ken­cing dan dokumentasi. Seramai 46 orang menjalani ujian air kencing dan daripada jumlah itu seramai 19 pelanggan positif dadah.

“Selain itu kita juga menangkap seorang juruwang, seorang pelanggan tempatan yang dikendaki polis dan seorang pelanggan lelaki warga Indonesia kerana tidak mempunyai dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sebelum itu satu serbuan dilakukan pukul 1.30 pagi kelmarin di pusat hiburan sama dan seramai 82 individu berusia 20 hingga 54 tahun diperiksa.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, 22 individu positif dadah selain wang tunai dari tiga negara dan beberapa dadah melibatkan jumlah kira-kira RM40,000 dirampas.

“Antara yang dirampas wang tunai RM7324; 140 biji Eremin 5 dan 215 biji ekstasi. Selain itu kita turut menahan seorang pengedar dadah tempatan berusia 20-an,” katanya.

Pihaknya juga menahan dua lelaki iaitu juruwang dan pekerja kelab itu selain menyelamatkan 36 wanita Vietnam termasuk dua bawah umur, 24 wanita China dan seorang wanita Taiwan.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menyerbu sebuah lagi pusat hiburan di plaza tersebut, seramai 22 menjalani ujian air kencing dan empat daripadanya positif dadah.

“Turut dirampas wang tunai RM13,916 selain beberapa peralatan elektrik. Seramai empat wanita Vietnam, dua wanita China berusia 20 hingga 28 tahun berjaya diselamatkan,” katanya.