Walau bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek lelaki berusia 41 tahun itu berjaya diberkas mangsa di luar rumahnya ketika mahu melarikan diri menaiki kereta bersama-sama jam terbabit.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden KS Mender Singh berkata, suspek yang datang dari Kuala Lumpur berpura-pura mahu membeli jam berkenaan yang diiklankan mangsa dalam sebuah medium jualan dalam talian.

“Suspek datang bersama-sama rakannya yang menunggu dalam kereta, selepas pura-pura membelek jam terbabit lelaki itu mengambil kesempatan membawa lari, namun tidak sempat manakala rakannya pula terus memecut kenderaan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, dalam kes berasingan yang turut berlaku di Yong Peng, semalam, seorang peniaga kerugian lebih RM52,000 selepas 11 utas koleksi jam tangannya dilarikan penjenayah dalam kejadian pecah rumah.

“Mangsa tiada di rumah ketika kejadian tetapi menyedari rumahnya dipecah masuk selepas sistem penggera di telefonnya berbunyi, hasil pemeriksaan mendapati jam tangan miliknya telah hilang.

“Antara yang dilarikan adalah seutas jam tangan jenama Rado, Panerai, Mido, Orient, Epos, Omega, Gucci serta masing-masing dua utas berjenama Oris dan Ball,” katanya yang turut memaklumkan suspek juga melarikan beberapa keping not matawang asing. - UTUSAN ONLINE