Tertuduh, Shukri Salleh, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Selain didakwa dengan sengaja mematahkan kaki dan tangan, Lelaki yang bekerja sendiri itu turut dikatakan menyebabkan mangsa, Mohd. Fahmi Mustafah, 38, menerima sembilan jahitan di bahagian kepala dan patah gigi hadapan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan Masjid Kampung Gua, Salor di sini kira-kira pukul 1.30 petang pada 2 Disember lalu.

Shukri dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, didenda dan sebatan.

Tertuduh diwakili peguam, Ahmad Faaiz Ahmad Maher manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad.

Sementara itu, Ahmad Faaiz memohon kepada mahkamah agar memberikan tarikh terdekat bagi mendapatkan ikat jamin terhadap anak guamnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.

Tuan Ruzuaini kemudian menetapkan esok untuk tarikh sebutan semula kes di hadapan Hakim mahkamah dan pihak tertuduh boleh memohon untuk dilepaskan dengan jaminan pada prosiding tersebut.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki yang dikatakan cuba menceroboh sebuah gudang perabot di tepi Lebuh Raya Salor - Pasir Mas, di sini ditangkap oleh orang ramai sebelum dibelasah.

Video kejadian pukul tersebut menjadi tular di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. - UTUSAN ONLINE