Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Seri Azam Baki berkata, proses tersebut dilakukan bagi mendapatkan data terperinci bagi menilai kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di negeri itu.

"Siasatan mengenai projek ini masih dijalankan dengan bantuan konsultan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain.

"SPRM akan mendapatkan nasihat daripada agensi ini terlebih dahulu, sekiranya mereka menasihatkan kita berhubung dengan konsultan swasta, SPRM akan berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah.

Baru-baru ini, SPRM mengumumkan mereka dalam proses melantik beberapa pihak teknikal atau konsultan bagi menilai kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang itu.

SPRM menjelaskan kes seumpama itu melibatkan hal-hal teknikal dan mengambil masa untuk disiasat.-UTUSAN ONLINE.