Terdahulu, presiden berusia 46 tahun dan ahlinya berumur 30-an yang menganggotai pertubuhan dikenali sebagai Skuad Badar itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, kira-kira pukul 9 malam semalam.

Difahamkan, penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis tentang kegiatan kumpulan tersebut baru-baru ini yang tular di Facebook.

Antara aduan yang dikatakan dibuat terhadap skuad berkenaan adalah kerana menjalankan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain tidak pernah dilantik menjadi pegawai penguat kuasa agama.

Selain itu, NGO terbabit juga didakwa tidak berdaftar serta memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.

Kumpulan tersebut juga sebelum ini dilaporkan menjalankan kegiatan seperti menahan pasangan berkhalwat dan membawa mereka ke kawasan tanah perkuburan untuk diberikan nasihat yang disertai ibu bapa bagi pesalah bawah umur.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu memaklumkan reman tersebut bermula hari ini sehingga Khamis. - UTUSAN ONLINE