Serbuan pukul 7.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota yang diketuai oleh Inspektor Reduan Mohidin hasil maklumat risikan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Asisten Superitenden Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, serbuan itu membawa kepada penemuan tong-tong berisi bahan bakar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mendapati 56 tong berisi diesel yang dianggarkan bernilai RM3,662.40.

“Bukan itu sahaja, kita turut temui 60 tong minyak petrol bernilai RM3,744.00 dalam serbuan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rudzuan memberitahu, kesemua barangan rampasan dibawa pulang ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE