Dalam tangkapan kira-kira pukul 3 pagi itu, tiga buah bot masing-masing sebuah kelas B1 dan dua buah kelas C dikesan sedang menangkap ikan kurang dari jarak yang disyaratkan dalam lesen.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu, Superintenden Dimin Awang berkata, terdapat dua buah lagi bot jenis sama melakukan kesalahan tersebut, namun berjaya melarikan diri selepas memotong tali pukat tunda.

Bagaimanapun, sebuah daripadanya berjaya dikesan semula kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini setelah berlabuh di pelantar ikan berhampiran Kuala Kedah.

“Pemeriksaan terhadap tiga buah bot pertama yang ditahan mendapati mereka menangkap sebanyak satu tan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, manakala bot keempat tidak menemukan apa-apa hasil ketika diperiksa.

“Tangkapan ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1.35 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut tersebut yang dianggarkan sebanyak RM7,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dimin berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki warga tempatan dan lapan warganegara Thailand berusia antara 30-an hingga 50-an.

Dalam pada itu, ujar beliau, bot yang ditahan berhampiran Kuala Kedah itu juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa apabila memadam nombor pendaftaran dengan mengecat salah satu angka di badan bot tersebut.

“Namun, hasil risikan dan maklumat kita berjaya menahan semula bot tersebut yang pernah melakukan kesalahan sama sebelum ini selain turut dikompaun, tetapi tiada suspek diberkas ketika itu.

“Jika mengikut syarat dibenarkan, bot kelas B1 hanya dibenarkan menangkap ikan di kedudukan lapan batu nautika ke atas, manakala kelas C pada 15 batu nautika,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985. - UTUSAN ONLINE