Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang semalam, PPDNHEP negeri merampas 248 tong gas dianggarkan bernilai RM59,883 dan menahan dua pekerja merupakan pemandu lori warga tempatan berusia 30 hingga 38 tahun yang sedang melakukan kerja pemindahan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati berlaku aktiviti meragukan yang mana terdapat lori sering keluar dan masuk dalam kawasan kilang tersebut.

“Pada awalnya, pasukan penguatkuasa cuba dihalang memasuki kawasan tersebut namun berjaya dan mendapati terdapat dua pekerja sedang melakukan kerja pemindahan. Malah, beberapa pekerja warga asing sempat melarikan diri ke kawasan kelapa sawit.

“Hasil serbuan berjaya merampas tong LPG 14 kilogram (kg) berisi penuh sebanyak 119 unit, berisi separuh (52 unit), kosong (24 unit) dan 50 kg berisi separuh 53 unit. Kesemua tong gas ini dipercayai untuk dijual bagi kegunaan industri.

“Sindiket juga melakukan aktiviti mencuri LPG dengan menyedut 3kg hingga 5kg bagi mengurangkan jumlah sebenar bagi tong 14kg. Kita percaya sindiket mampu mengaut keuntungan sebanyak RM30,000 sehari bagi tiga kali proses pemindahan,” katanya dalam sidang akhbar di stor PPDNHEP di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE