MOHMAD SALLEH

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan analisis sampel-sam­pel kopi tersebut.

“Kami belum pasti bila keputusan analisis itu akan dikeluarkan kerana ia di bawah Kementerian Kesihatan.

“Jika benar ada kandungan dadah, maka kami akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Ke­sihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam hari ini meminta polis untuk menyiasat kemungkinan kopi berperisa durian yang di­­campur bahan asing diperca­yai dadah didalangi sindiket yang ketika ini sedang bergerak aktif.

Ini memandangkan, kementerian mendapat maklumat kopi tersebut khususnya yang berpe­ri­sa durian telah dibekalkan ejen-ejen tertentu untuk diagihkan kepada orang ramai.

Kenyataan tersebut berikutan kejadian lima individu termasuk dua warga Nepal di Pulau Tikus, Pulau Pinang yang diserang gejala keletihan teruk sehingga tidak sedarkan diri selepas meminum kopi berperisa durian yang dipercayai dicampur dadah, 27 Januari lalu.

Dua warga Nepal itu mendakwa kopi putih berperisa durian tersebut diberikan oleh seorang wanita yang tidak dikenali.