Penahanan mereka yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun itu dipercayai dapat  menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes di daerah ini, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu  yang dilaporkan sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata,  kesemua suspek termasuk seorang yang dipercayai pembeli barangan curi berkenaan ditahan di sekitar daerah ini antara 26 Mei dan 31 Mei lalu.

Menurut beliau, serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini berjaya menemui 90 kilogram (kg) tembaga kabel telekomunikasi dan 200 kilogram bateri dipercayai dicuri yang nilai keseluruhannya dianggarkan lebih RM2,000.

“Beberapa botol gas metana kosong yang dipercayai digunakan untuk membakar kabel  telekomunikasi bagi mendapatkan tembaga dan peralatan seperti parang, gergaji, sabit, tukul besi dan sarung tangan juga ditemukan.

“Turut dirampas ialah sebuah motosikal yang digunakan suspek dan juga sebuah van,”ujar dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Katanya, daripada tujuh suspek yang ditahan, enam daripadanya positif dadah dan empat pula mempunyai rekod jenayah lampau  manakala seoarang lagi yang berjaya meloloskan diri masih diburu.

“Kebanyakan rekod jenayah lampau suspek berkait kes curi kabel, curi dalam bangunan dan dadah. Suspek yang berusia 31 dan 34 merupakan adik beradik.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 379 dan 431 A Kanun Keseksaan  yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan sebat,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE