JAMAL MD. YUNOS
JAMAL MD. YUNOS

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa tekanan dan siasatan terhadap Jamal bukan dilakukan dalam tergesa-gesa.

“Kita siasat satu persatu terhadap semua kes melibatkan beliau, tidak ada sebarang tekanan yang dikenakan kepada PDRM. Apa yang kita lakukan adalah mengikut lunas undang-undang dan prosedur ditetapkan.

“Pihak polis telah memberi masa secukupnya untuk beliau bekerjasama namun sehingga kini tiada sebarang elemen positif ditunjukkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Fadzil, pihaknya hari ini memohon waran tangkap ke atas beberapa kes melibatkan Jamal dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu telah disenaraihitamkan dari ke luar negara.

“Kita akan memperhebat tindakan serta usaha mengesan Jamal yang kini melarikan diri. Sepatutnya beliau memberikan kerjasama kepada siasatan dijalankan terhadapnya dan perkara itu juga telah dimaklumkan kepada peguamnya agar menasihatkan Jamal memberi kerjasama,” katanya.

Semalam, Jamal me­nerusi sebuah vi­deo mendakwa pihak yang berkuasa ketika ini membuat rancangan memberi tekanan kepada pihak polis untuk menganiaya dirinya menyebabkan beliau bimbang hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dekat sini semalam.

Dalam rakaman video berdura­si tujuh minit itu, beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memberi jaminan agar seorang pemimpin politik tidak akan dizalimi oleh mana-mana pihak dalam menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, Jamal gagal tampil ke IPD Ampang dekat sini se­perti yang dijanjikan bagi memberi keterangan kepada polis selepas dilaporkan hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini sebelum proses dokumentasi jaminan mahkamah selesai, 25 Mei lalu.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira pukul 5.30 petang.