Penggalian semula berkenaan dijalankan atas permintaan abang kandung Nazrin, Dr. Malek Hassan, agar bedah siasat kedua dapat dilakukan.

Dr. Malek membuat permohonan tersebut kepada mahkamah pada 24 September lepas selepas beliau mengesyaki penemuan bedah siasat pertama salah.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin ditemukan meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini.

Siasatan ke atas kes ini menyaksikan beberapa individu telah direman dan dibebaskan, termasuk isteri Nazrin dan bekas suaminya; dua anak tiri allahyarham serta adik perempuan isterinya dan suami.

Setakat laporan ini, pihak media tidak dibenarkan untuk masuk dan melihat kerja-kerja penggalian semula yang dilakukan polis.

Pihak polis juga telah menempatkan sejumlah anggota untuk menjaga pintu masuk dan kawasan di dalam kompleks perkuburan itu. - UTUSAN ONLINE