Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tiga daripada 10 laporan polis itu dibuat individu yang mendakwa dipukul dalam kejadian tersebut.

“Pihak akhbar membuat tiga laporan, pihak parti politik tiga laporan dan satu lagi laporan dibuat orang awam yang berada di tempat kejadian. Kejadian tersebut juga tular di laman sosial yang mana ada pihak mendakwa sebanyak 80 hingga 100 orang terlibat.

“Bagaimanapun selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rakaman video yang dimuat naik di laman sosial, kita dapati hanya ki­ra-kira 30 individu ter­libat,” jelasnya da­lam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Amar ­Si­ngh, sebanyak 23 orang telah diambil ke­terangan melibat­kan­ kedua-dua pihak dan juga saksi awam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang sama ada dengan mengadakan bantahan mahupun provokasi.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam serta mencetuskan kekacauan.

“Kita juga minta orang awam dan saksi bebas yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberikan kete­rangan bagi membantu siasatan,” ujarnya.