Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, hasil serbuan itu pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan iaitu peniaga ikan berusia 23 tahun dan buruh berusia 26 tahun di rumah berkenaan.

"Dalam operasi bermula pukul 6.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang itu, polis menemukan sebanyak 17,200 biji methamphetamine bernilai RM258,000 dan syabu seberat 606.19 gram dengan nilai RM60,619.

"Di samping itu, polis turut menyita tiga buah kereta dan dua buah motosikal serta merampas wang tunai berjumlah RM22,067 yang dipercayai daripada hasil jualan dadah," ujarnya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Pihaknya percaya suspek mengedar dadah kepada  penagih di sekitar daerah ini, Marang, Dungun dan Kemaman sejak enam bulan lalu, dengan rumah sewa berkenaan dijadikan sebagai tempat penyimpanan bahan terlarang itu.

"Ujian air kencing terhadap kedua-duanya adalah negatif dengan salah seorang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

Menurut Aidi, dadah itu dipercayai diseludup daripada negara jiran, dan difahamkan mampu menampung keperluan kira-kira 17,000 penagih berdasarkan jumlah pil kuda yang dirampas.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti jika sindiket itu mempunyai rangkaian dengan pengedar-pengedar dadah yang lain," ujarnya.

Aidi berkata, suspek direman selama lima hari sehingga Rabu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE