Tertuduh, Darmadi Sulaiman, 35, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah membunuh Abdul Rahman Pileh, 60, antara pukul 7.40 malam hingga 8.10 malam di dalam sebuah kediaman di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang di sini pada 14 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak dan sengaja mendatangkan cedera terhadap Sabturiah Lakidau, 59, pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria memohon tarikh untuk laporan kimia manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norina kemudian menetapkan 5 September ini untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE