Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, motosikal itu ditemukan di kawasan berhampiran tasik di Danau Kota di Setapak oleh orang awam pada waktu tengah hari ini.

“Ya, kita ada jumpa motosikal yang dipercayai digunakan oleh dua suspek dalam pembunuhan itu pada 21 April lalu.

“Motosikal itu kita dapati dalam keadaan baik dan difahamkan ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan model motosikal berkenaan walaupun media sebelum ini melaporkan ianya mungkin dari jenis BMW GS atau Kawasaki Versys.

Semalam, polis melancarkan operasi besar-besaran termasuk mengedarkan lakaran wajah dua suspek yabg didakwa menembak mati Dr. Fadi dalam satu kejadian pada 21 April lalu.

Sabtu lalu, Dr. Fadi ditemukan mati akibat ditembak berkali-kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala hasil bedah siasat di Hospital Selayang mendapati, sebanyak 14 butir peluru ditemukan pada badan dan kepala mangsa. - UTUSAN ONLINE