Kejadian pada pukul 2 pagi itu berlaku di kawasan perintah berkurung yang terletak 17.28 ki­lometer dari Felda Sahabat 16 dan 8.46 kilometer dari sempadan perairan Filipina.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat, manakala kesemua suspek lelaki bersenjata api yang berumur antara 20-an hingga 40-an itu.

Menceritakan kejadian, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, kesemua suspek dikesan sedang bergerak laju ke arah sekumpulan bot nelayan oleh pasukan keselamatan yang melakukan rondaan bersama.

Menurutnya, pasukan tersebut yang terdiri daripada Pasukan Ke­selamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Unit 69 Komando dan Pasukan Polis Marin kemudian cuba memintas bot suspek dalam ke­adaan lampu biru polis dinyalakan.

“Namun, secara tiba-tiba suspek telah melepaskan tembakan ke arah bot mereka (pasukan ke­selamatan).

“Bagi tujuan mempertahankan diri, pasukan keselamatan melepaskan tembakan balas.

“Hasil pemeriksaan selepas itu telah menjumpai dua mayat lelaki di dalam bot manakala dua lagi terapung di laut dengan kesan tembakan,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pasukan keselamatan turut merampas sepucuk pistol, 21 butir kelongsong peluru dan sebuah bot untuk tindakan lanjut.