Ketua Polis negeri, Datuk Maz­lan Mansor berkata, setakat ini pihaknya sedang meneliti pelbagai maklumat berkaitan dengan kes itu termasuk meneliti rakaman yang diperoleh daripada beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perincian rakaman-rakaman CCTV berkenaan bagi mengelak timbulnya pelbagai andaian atau tanggapan yang tidak betul sehingga boleh mengganggu proses siasatan.

“Kita dapat beberapa rakaman CCTV, tetapi itu dalam siasatan dan saya tidak boleh dedahkan. Kita perlu penelitian terperinci dan diharapkan akan dapat satu petunjuk yang cukup konkrit termasuklah keterangan saksi dan sebagainya.

“Pada masa sama, pasukan siasatan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad) akan bekerja siang malam bagi melengkapkan siasatan. Malah, kita turut mendapat kerjasama daripada Bukit Aman, melibatkan proses koordinasi,” katanya ketika ditemui dalam Program Gotong-Royong Ibadah Korban di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan tidak menafikan kemungkinan ada tangkapan lain akan dilakukan bagi membantu siasatan kes itu selepas suspek pertama yang merupakan pekerja kilang ber­usia 34 tahun ditahan reman selama seminggu bermula semalam.

“Itu (tangkapan lain) kita tunggu dan lihat. Namun sekiranya ada tangkapan lain dibuat, ia tidak semestinya menjurus kepada penyelesaian kes berkenaan.

“Apa sahaja yang menimbulkan keraguan yang mewajarkan siasatan dilakukan, kita akan buat (tangkapan)," ujarnya yang turut enggan mendedahkan motif sebenar kejadian berkenaan.