Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk S. Dev Kumar, sepasukan anggota diketuai Inspektor Andrew Undum menahan suspek di sebuah rumah panjang di Kampung Terimah Lubai.

“Polis akan memohon reman suspek pada pagi ini bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak berkenaan.

“Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri semalam, mendapati punca kematian disebabkan asfiksia iaitu keadaan sukar bernafas kerana kekurangan oksigen dalam darah, sehingga ada kalanya boleh menyebabkan kematian.

“Ini disebabkan mangsa ditutup hidung dan mulut sama ada dengan tangan atau objek lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini pagi ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan kanak-kanak itu, Kelvin Weychelly Bangga Justin ditemukan ibu tirinya dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik mandi.

Bagaimanapun pemeriksaan badan ke atasnya menemukan kesan lebam di dahi, bahagian belakang, perut dan kesan luka pada ari-ari, mulut, hidung, belakang telinga kanan serta dubur berdarah.

Tambah Dev Kumar, kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE