Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa buah rumah sekitar kawasan tersebut kira-kira pukul 6 pagi.

“Siasatan juga mendapati kumpulan ini aktif melakukan kes pecah rumah di kawasan daerah ini terutamanya di taman perumahan, Kampung Syabandar, Laya-Laya dan Tambalang.

“Kumpulan ini juga menyasarkan rumah tidak berpenghuni sebagai sasaran utama terutamanya rumah yang ditinggal pemilik ketika pergi kerja atau dalam tempoh masa panjang atau pendek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dzulbaharin menambah, tangkapan itu juga membantu menyelesaikan beberapa kes pecah rumah bagi daerah ini.

“Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan beberapa barang dipercayai hasil rompakan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE