Wanita berusia 26 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian dengan bantuan enam rakannya.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Suffian Sulaiman berkata, wanita itu dilarikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas kereta yang dinaiki bersama tiga rakannya dipintas dan dihadang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, dua wanita kemudian keluar dari kenderaan itu sebelum menarik mangsa dan dimasukkan ke dalam MPV terbabit.

“Seorang daripada suspek menutup muka dan mengikat tangan serta kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Suffian memberitahu, mangsa kemudian dibawa sejauh 20 kilometer dan dipercayai dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Teratak Batu, Marang, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian.

“Ekoran aduan yang diterima, siasatan dijalankan dan pihak polis berjaya menahan kesemua suspek di beberapa lokasi,” ujar beliau.

Tambah Suffian, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.