Suspek yang juga merupakan kenalan mangsa berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan sebaik dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda kira-kira pukul 8.30 malam ekoran penemuan keretanya yang terbakar di lokasi kejadian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan tersebut.

“Kita menahannya untuk membantu siasatan kes terbabit dan mencari motif sebenar pembunuhan itu.

“Susulan itu suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Disember ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kata Saifi, perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Noor Lyana Ab. Rahim pagi tadi.

Dalam kejadian semalam, mayat seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada dada, pipi dan tangan di belakang sebuah rumah teres di taman itu.

Mangsa yang berumur 20-an dan berasal daripada Nibong Tebal ditemukan oleh seorang suri rumah selepas terdengar suara mengerang kesakitan di belakang rumahnya pada pukul 3 petang.

Bagaimana pun mangsa didapati meninggal dunia sebaik sahaja polis tiba di lokasi kejadian.

Hasil siasatan turut mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai digunakan mangsa dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu ditemukan terbakar di kawasan semak kira-kira 100 meter dari lokasi mayat. - UTUSAN ONLINE