MUSA AMAN

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut.

“Tan Sri Musa ditangkap pukul 10 pagi tadi.

“Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman ditolak Mahkamah Majistret,” katanya ringkas ketika dihubungi menerusi Aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Terdahulu Musa yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dikatakan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Selangor sebaik selamat tiba di negara ini pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di hospital swasta itu mendapati kelihatan beberapa individu dipercayai kenalan Musa berlegar di ruang lobi.

Namun apabila ditanya mengenai keadaan bekas Ketua Menteri Sabah itu, mereka enggan mengulas lanjut.

kOTA kINABALU 1 OGOS 2018-Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli
RAMLI DIN

Musa sebelum itu dikatakan menjalani rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom (UK) dan meneruskan rawatan kesihatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura berkaitan pembedahan pintasan jantung sebelum pulang ke Malaysia.

Beliau sebelum ini menjadi buruan pihak berkuasa selepas satu kertas siasatan dibuka di negeri ini susulan laporan polis yang mendakwa beliau mengugut Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Selain itu, turut difahamkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat Musa melibatkan beberapa projek di negeri ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, tiada tarikh lanjutan akan diberi kepada Musa untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga.

Tegasnya, 11 September depan adalah tarikh akhir bagi Musa untuk mengangkat sumpah sebelum kerusi DUN itu boleh diisytihar kosong.

Katanya, tiada sebarang keistimewaan akan diberikan kepada bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu meskipun beliau didakwa masih menerima rawatan kesihatan.

“Musa kini sudah kembali ke Malaysia dan beliau boleh hadir pada bila-bila masa untuk me­ngangkat sumpah sebelum 11 September ini atau diawalkan memandangkan pada tarikh tersebut merupakan cuti umum sempena sambutan Maal Hijrah,” jelasnya.