Kesemua mereka ditahan di sekitar Sungai Petani antara pukul 8 malam sehingga 5 pagi pada 27 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya dua pucuk pistol, sebilah parang, sebuah kereta jenis Proton Waja, motosikal jenis SYM, satu unit pemadam api dan hasil daripada kegiatan samun seperti wang tunai serta telefon bimbit.

Katanya, penahanan lima lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun itu sekali gus menyelesaikan lapan kes samun di daerah Kuala Muda, Sik dan Baling yang membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM20,000.

“Kumpulan penjenayah ini pada bulan lalu menyamun seorang lelaki dengan cara melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan dua buah beg mengandungi wang tunai RM7,000 dan komputer riba serta barang berharga lain.

"Suspek juga pernah melakukan samun dengan mengacukan pistol tiruan kepada mangsa selain pernah menyembur cat pada muka mangsa yang cuba melawan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek tersebut didapati positif dadah jenis syabu dan dipercayai melakukan kegiatan tersebut untuk membeli bekalan dadah.

Selain itu, katanya, kumpulan tersebut juga mengaku bahawa mereka membawa pemadam api yang bertujuan untuk menyembur ke arah polis sekiranya dikejar.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 28 November lalu hingga hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan senjata api, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE