Suspek yang berusia 47 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan di sebuah kem modal insan di Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini iaitu tempat sama dia mengadakan sidang akhbar sehari sebelum itu, pada pukul 3 petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, turut dirampas di dua lokasi iaitu di tempat sidang akhbar diadakan dan di rumah suspek adalah 10 bilah keris pelbagai saiz, sebatang tombak, lapan bilah pedang pelbagai saiz, satu dulang tembaga dan satu jade bersalut tujuh gambar naga.

“Suspek antara pukul 11 pagi hingga 1.30 petang pada Sabtu lalu telah mengadakan sidang akhbar di sebuah kem modal insan yang dihadiri kira-kira 100 pengikut mendakwa dia merupakan pemerintah yang sah bagi keseluruhan Malaysia atau Tanah Melayu.

“Susulan laporan polis yang dibuat berhubung acara itu, polis menahan lelaki tersebut bagi membantu siasatan bagi kesalahan memperdaya dengan tujuan menipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pada sidang akhbar itu, suspek yang berasal dari Perak dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar D'zulkarnain memiliki kekayaan di seluruh negara ini serta mempunyai kaitan dan kepentingan di beberapa negara di dunia.

Malah dia turut mendakwa mempunyai harta kekayaan dan wang tunai berjumlah bertrilion dolar di beberapa negara termasuk di Hong Kong, China, Kemboja, Bangladesh dan Thailand.

Menurut Arshad, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Sidang akhbar yang diadakan oleh suspek itu tular dalam laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. - UTUSAN ONLINE